TAPAH, 24 DIS – Pemandu sebuah kereta Proton Wira maut selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori ais di Kampung Haji Dahlan, dekat sini, hari ini.

Lelaki berusia dalam lingkungan 39 tahun ini maut di tempat kejadian manakala pemandu lori ais hanya mengalami kecederaan ringan.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mereka menerima maklumat mengenai kemalangan itu jam 3.30 petang.

“Pemandu lori ais yang mengalami kecederaan ringan telah dibawa ke hospital oleh orang awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut jurucakap itu, anggota bomba menggunakan peralatan khas menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi bomba tamat kira-kira sejam kemudian.