BIDOR: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu terbabas ke dalam parit di
Kilometer 12.8 Jalan Bidor – Teluk Intan, dekat sini, hari ini.

Mangsa, Mohamed Azman Khan Bin Mohd Yusof Khan, 29, yang beralamat di Taman Aman, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 10.30 pagi ketika mangsa dikatakan dalam perjalanan ke arah Bidor.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan sebelah kiri, lalu terjatuh ke dalam parit,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan parah, meninggal dunia ditempat kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak berkata, pihaknya menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.