SUNGAI SIPUT : Seorang pemandu treler didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Siput pada Khamis atas empat pertuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian empat sekeluarga termasuk seorang anggota polis, 13 Februari lalu.

Tertuduh, Y Vethri Vel, 26, bagaimanapun tidak memahami pertuduhan yang dikenakan terhadapnya sebaik ditanya jurubahasa dalam bahasa Melayu dihadapan Majistret Norhabsarina Ayob.

Mengikut pertuduhan, Vethri Vel didakwa memandu treler bernombor pendaftaran WUA 5761 dan T/BD6993 di Kilometer 37 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar secara melulu hingga menyebabkan kematian empat individu pada kira-kira jam 10.20 malam, 13 Februari lalu.

Dia didakwa menyebabkan kematian Mohamad Faiz Bakhari, 28, Nik Iedayu Nik Hassan, 30, Nik Ifeka Nik Hassan, 27, dan seorang bayi lelaki, Mohamad Faqih Irsyad Mohamad Faiz.

Vethri Vel dituduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan.

Norhabsarina kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Beliau turut menetapkan 23 Mac depan sebagai sebutan semula kes dengan kehadiran seorang jurubahasa.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jean Siow Chung Hwei manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norlida Ishak.

Dalam kemalangan 13 Februari lalu, Mohamad Faiz yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput maut di tempat kejadian bersama isteri, Nik Iedayu, anak bongsu mereka, Muhammad Faqih Irsyad berusia 16 bulan serta adik ipar, Nik Ifeka.

Nahas membabitkan treler dan kereta jenis Proton Saga BML itu turut mengakibatkan anak sulung mangsa, Muhammad Fariz Iskandar, 3, cedera parah.

Siasatan awal mendapati treler bermuatan bahan binaan yang dipandu dari arah Ipoh itu hilang kawalan sebelum terbabas memasuki jalan bertentangan menyebabkan kereta mangsa tidak dapat mengelak lalu melanggar bahagian tepi treler sebelum dihempap dengan muatan treler.