GEORGE TOWN : Seorang wanita warga China hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret sini atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Jalan Datuk Keramat, Jumaat lalu.

Tertuduh Liu Shasha, 25, membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan.

Mengikut pertuduhan, Liu pada 25 Okt lalu jam 6.25 pagi didakwa memandu kereta di bawah pengaruh alkohol atau dadah menyebabkan dia tidak berdaya mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Jalan Datuk Keramat.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 di mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nabila Huda Muhammad Nazim manakala tertuduh diwakili peguam P. Ashokumar.

Rosnee tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 8 Nov depan sebagai tarikh sebutan semula untuk pengesahan ketulenan passportnya daripada Jabatan Imigresen Malaysia.

Sementara itu di mahkamah yang sama, rakan kepada Liu, Lim Nian Siang, 23, yang merupakan pemilik kereta berkenaan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Rosnee.

Lim seorang tukang masak didakwa melakukan kesalahan membenarkan kenderaan itu dipandu Liu dan didakwa mengikut Seksyen 26 APJ 1987 pada waktu dan tempat yang sama.

Rosnee kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,500 terhadap tertuduh yang ketika kejadian turut berada di tempat penumpang hadapan.

Dalam kejadian itu, seorang kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Mohaidin Gani Mohamad, 58, maut selepas motosikal ditunggang dirempuh Honda Accord dipandu tertuduh Liu berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Datuk Keramat.