IPOH: Persatuan Maahad Tahfiz Al Quran Negeri Perak (PEMATAP) menyokong penuh memorandum Sekretariat Khas Pandemik COVID-19 Institusi Tahfiz Negara (SITN) yang merayu kerajaaan membenarkan kira-kira 1,500 buah maahad tahfiz yang melibatkan 75,000 pelajar seluruh negara beroperasi sepenuhnya.

Memorandum itu yang diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini, turut disertakan dokumen prosedur operasi standard (SOP) khas pandemik COVID-19 untuk dipatuhi oleh semua maahad tahfiz apabila beroperasi kelak.

Pengerusi PEMATAP, Mohd Azlan Suhaimi berkata, sebelum didokumenkan, SOP berkenaan telah didemonstrasi dan dinilai oleh Pegawai Kesihatan KKM dan juga Pegawai Majlis Keselamatan Negara.

“PEMATAP menyifatkan dengan adanya SOP Khas berkenaan menunjukkan kesungguhan pihak intitusi tahfiz negara menghadapi suasana pembelajaran norma baru.

“Malah pelaksanaannya boleh mencapai 100 peratus ekoran jumlah pelajar di sesebuah maahad tahfiz agak kecil jika dibezakan dengan sekolah harian atau sekolah berasrama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sehingga kini lebih 400 buah maahad tahfiz telah mematuhi pelbagai program pencegahan COVID-19, antaranya ujian saringan (swab test), nyah kuman premis oleh Pejabat Kesihatan Daerah, ujian saringan COVID-19 (ujian darah) dan sanitasi premis maahad tahfiz oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Selain itu, PEMATAP menegaskan kebenaran institusi tahfiz beroperasi sepenuh adalah perlu sebagai langkah menstabilkan semula kualiti hafazan para pelajar setelah berehat panjang bersama ahli keluarga masing-masing.

“Malah ia juga boleh menstabilkan semula pengurusan sumber manusia pada setiap maahad tahfiz seluruh negara,” ujarnya.