KOTA KINABALU: Angkatan Muda PKR Sabah meluahkan rasa kecewa berhubung pembahagian kerusi Parti Warisan Sabah (WARISAN)

Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin dalam satu kenyataan media semalam, mempersoalkan tindakan WARISAN melanggar kerusi rakan dalam pakatan itu.

“PKR sebelum ini mengumumkan untuk bertanding 14 kerusi Dewan Undang Negeri (DUN) iaitu Matunggong, Pintasan, Tempasuk, Tamparuli, Inanam, Api-Api, Petagas, Limbahau, Membakut, Klias, Kemabong, Sook, Sungai Manila dan Segama.

“PKR juga akan mengumumkan untuk menggunakan logo PKR sendiri namun bersama dalam WARISAN Plus bagi mempertahankan kerajaan negeri.

“Namun semalam, WARISAN mengumumkan bertanding di Pintasan, Petagas, Limbahau, Membakut, Sungai Manila dan Segama manakala kerusi Kemabong diserahkan kepada Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

“Di sini saya ingin mempersoalkan di mana semangat kesatuan yang sering dilaungkan Shafie (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) apabila dengan jelas melanggar kerusi rakan dalam pakatan?” katanya.

Dalam kenyataan media terbabit, Razeef turut berkata kekecewaan rakan komponen lain yang bersama WARISAN tidak mendapat tempat yang seharusnya mereka peroleh.

“Saya juga terkilan apabila rakan komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu AMANAH dan DAP tidak mendapat tempat selayaknya walaupun mereka banyak mengorbankan beberapa perkara untuk mendapat perhatian Shafie.

“Antara perkara yang sanggup mereka lakukan adalah menolak calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) sebaliknya menyokong calon lain yang dicadangkan Tun Dr Mahathir, iaitu Shafie sendiri.

“Terkini, DAP dan AMANAH sanggup memilih menggunakan logo WARISAN sekali gus mengenepikan logo mereka dan logo PH, walaupun UPKO menggunakan logo sendiri atas dasar prinsip serta hormat kepada organisasi.

“Namun, apa yang berlaku AMANAH cuma diberi ruang bertanding satu kerusi iaitu Tanjung Keramat serta terlepas beberapa kerusi berpotensi antaranya Pitas dan Sekong, manakala beberapa kerusi potensi DAP dirampas WARISAN antaranya DUN Tulid serta beberapa DUN berpotensi buat DAP, ” katanya.

Katanya, isu pengagihan kerusi seharusnya adil sebagai lambang kesatuan sesama sendiri.

“Kita tidak terlalu risau isu agihan kerusi walaupun jumlahnya kecil, namun biar adil atas semangat muafakat dan kesatuan dalam WARISAN Plus.

“Ini kerana rakyat memerhati dan tidak mustahil, jika bukan sahaja rakyat malah penyokong parti dalam WARISAN Plus akan melakukan undi protes apabila mereka melihat WARISAN sebagai parti tamakkan kerusi,” katanya.

Semalam, media melaporkan Mohd Shafie (Presiden WARISAN), berkata setakat ini WARISAN, DAP, UPKO dan AMANAH akan bertanding di 66 kerusi, manakala selebihnya akan ditandingi PKR.

WARISAN mendapat 46 kerusi, UPKO (12), DAP (7), PKR (7) dan AMANAH (1), menyaksikan mereka bertanding di semua 73 kerusi DUN Sabah. – BH Online