IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pembangkang akan terus menabur fitnah dan melakukan pembohongan sehingga akhirnya ia akan dipercayai.

Menurut Dr Zambry, mereka akan menggunakan apa sahaja cara untuk menunjukkan bahawa kerajaan yang ada tidak baik dan hanya mereka sahaja yang baik.

Katanya, beliau sudah masak dengan cara dan pendekatan goebbelion yang digunakan oleh pemimpin pembangkang, khususnya DAP.

“Lantaran itu saya tidak bermain di padang mereka dan cara mereka kerana ada di kalangan mereka mengharapkan saya menjawap, tidak payahlah saya menjawab benda-benda yang saya fikir tidak perlu,” katanya kepada pemberita selepas program Selamat Pagi Perak Bersama Dr Zambry di RTM Perak di sini pada Isnin.
Dr Zambry menegaskan, beliau tidak perlu menjawab bentuk-bentuk pembohongan pembangkang, sebaliknya lebih baik beliau menceritakan kepada rakyat, apa yang dilakukan kerajaan.

Beliau menambah, apa yang paling penting ialah rakyat ingin tahu apa yang kerajaan buat, apa yang telah dilaksanakan dan apa yang telah dicapai sepanjang pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Sebagai satu pasukan, kami terus bekerja, sebab itu saya kurang berada dalam suasana untuk berlawan, maki hamun antara satu sama lain, jawab-menjawab, saya tidak mahu bersikap seperti mereka.

“Kerana apabila hari-hari di dalam jiwa itu dipenuhi dengan sifat benci akhirnya kehidupan dia penuh dengan kebencian,” ujarnya.

Beliau berkata, jika dilihat kepada tweet yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin pembangkang DAP, tidak ada satupun yang menyebut mengenai kebaikan kerajaan ataupun sesuatu yang lebih objektif.

“Soal nak sebut tentang kebaikan BN, tentu dia tidak akan cerita sama sekali, tetapi dari segi dasar-dasar dan pelaksanaan yang lebih objektif, you can be critical, its ok tetapi be objective dari segi analisis, saya lebih suka pendekatan yang begitu,” katanya.

Untuk maklumat, mengikut teori Menteri Propaganda NAZI, Jozef Goebbels, pembohongan yang dibuat berulang-ulang akhirnya akan membuatkan ia dipercayai.