BESTARI JAYA: Mana-mana Ahli Parlimen pembangkang tidak sepatutnya dihalang memasuki kawasan persekolahan jika ia membawa kebaikan kepada rakyat.

Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dasar Pakatan Harapan (PH) adalah mengutamakan kepentingan rakyat dan perlu menyokong sesiapa yang membantu menzahirkan perkara itu.

“Pihak kerajaan mahupun pembangkang mesti bekerjasama ke arah kemaslahatan dan kebajikan rakyat.

“Andai Ahli Parlimen itu pembangkang, datang ke sekolah untuk kebaikan, beliau perlu diberi kemudahan untuk menunaikan tanggungjawab berkenaan.

“Kita tinggalkan cara lama tetapi janganlah Ahli Parlimen itu mengambil kesempatan dan mempolitikkan peluang yang kita beri,” katanya ketika ditemui pada Majlis Yok Medang di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Badong di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan berkata, isu berkenaan tidak sepatutnya timbul berikutan sekolah bukan tempat untuk berpolitik.

“Apa yang penting adalah khidmat kepada rakyat dan pelajar. Jika ada mana-mana Ahli Parlimen (pembangkang) yang mahu beri bantuan, itu perlu cuma jangan salah guna peluang itu hingga memudaratkan orang lain.

“Kena ikut segala etika dan peraturan yang sudah ditetapkan,” katanya.

Semalam, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat memaklumkan Ahli Parlimen pembangkang yang berhasrat masuk ke sekolah milik kerajaan untuk menghadiri sebarang program perlu mendapatkan kebenaran daripada kementeriannya.

Pekeliling turut sudah dikeluarkan bahawa permohonan perlu dibuat kepada kementerian melalui Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) jika wakil rakyat terbabit berhasrat berbuat demikian.

Kelmarin, media melaporkan Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit, mendakwa beliau tidak dibenarkan masuk ke sekolah milik kerajaan bagi menghadiri program tanpa sebarang alasan kukuh – berita harian