KOTA BHARU: UMNO mendedahkan terdapat media tertentu di dalam dan luar negara disalurkan dengan maklumat palsu untuk diviralkan ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa, berkata mungkin maklumat berkenaan akan disebarkan menjelang hari pengundian supaya rakyat membenci kerajaan.

Justeru, katanya, masyarakat jangan mudah terpedaya dengan laporan berita termasuk di luar negara kerana setiap kali PRU, ramai pihak akan campur tangan termasuk yang didalangi di luar negara.

“Pada masa sama, saya menasihatkan pemimpin UMNO supaya tidak mengeluarkan kenyataan mengelirukan rakyat, selain boleh dimanipulasikan pihak pembangkang.

“Pembangkang kini memerhatikan gerak geri kita dan setiap kenyataan dikeluarkan, rakyat tidak dapat membezakan sama ada ia pendapat peribadi atau parti.

“Jadi, kita perlu berusaha meminimumkan kesilapan atau tertembak kaki sendiri, sebaliknya bekerja keras membetulkan segala berita palsu,” katanya pada sidang media di Majlis Penerimaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), di Kompleks YKK, di sini, hari ini.

Seramai 20,000 penduduk di Parlimen Ketereh menerima BR1M.

Sementara itu, persiapan parti bagi menghadapi PRU-14 dianggap terbaik termasuk menerusi simulasi pada semua peringkat dilakukan – berita harian