KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengaku berjumpa dengan pemimpin pembangkang, yang dispekulasi mempunyai kaitan dengan perbincangan berhubung jawatan perdana menteri.

Bagaimanapun, Dr Mahathir menegaskan bahawa beliau sering mengadakan perjumpaan dengan pelbagai individu termasuk wakil dari NGO.

“Perjumpaan itu berlangsung tapi saya jumpa semua orang, bukan hanya pembangkang, tapi juga NGO.

“Seperti yang anda tahu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang sentiasa kata dia sokong saya. Tak ada perkara baru,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai laporan berhubung perjumpaan itu di sidang media di Putrajaya pagi ini.

Mengulas sama ada perjumpaan itu turut melibatkan pemimpin Umno dan Gabungan Parti Sarawak, Dr Mahathir berkata: “Mereka datang jumpa saya, jadi saya jumpa mereka. Saya dengar apa yang mereka nak kata. Ramai antara mereka yang menyatakan sokongan kepada saya. Terima kasih banyak.”

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali hadir dalam mesyuarat itu, Dr Mahathir secara sarkastik sekadar berkata: “Perjumpaan ini rahsia, saya tak boleh beritahu”.

Laporan The Star yang memetik sumber menyatakan pemimpin pembangkang berjumpa Dr Mahathir pada Selasa lalu untuk menyatakan sokongan agar perdana menteri itu berkhidmat sehingga habis penggal.

Menurut laporan itu, antara yang hadir ialah bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein, Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Ketua Whip GPS Fadillah Yusof.

Laporan itu juga mendakwa Dr Mahathir turut meminta seorang menteri kanan PH menghadiri perjumpaan itu namun nama menteri yang dimaksudkan tidak didedahkan.