IPOH : Pembangunan Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai tidak akan dilaksanakan secara terburu-buru walaupun pewartaannya telah berkuatkuasa 1 Januari 2020 yang lalu.

Sebaliknya, pembangunan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat agar penduduk tempatan lebih bersedia dan dapat menikmati manfaatnya sebanyak mungkin.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri boleh sahaja segera menjemput pelabur-pelabur luar seperti dari Taiwan, Singapore, China, Australia dan New Zealand untuk melabur di Pangkor.

“Kita boleh benarkan mereka bukalah kedai sebesar-besar, bukalah mall sebesar-besar, buka pub sebesar-besar, kita jual semuanya duty free.

“Jadi anak tempatan dapat apa. Jadi apa yang kita nak buat, biarlah anak negeri kita, anak tempatan mendapat keuntungan.

“Saya lebih selesa untuk mengambil tindakan ambil masa agar kita tidak buat banyak kesilapan.

“We can take it easy asalkan kesilapan itu kita minimize kan dan akhirnya hasrat kita adalah untuk mendapatkan nikmat ekonomi yang terbaik untuk orang tempatan,” katanya.

Beliau ditemui selepas wawancara radio mengenai pencapaian Perak 2019 di Ipoh pada Rabu.

Dalam tinjauan media di Pulau Pangkor baru-baru ini, rata-rata penduduk meminta pembangunan pulau itu dipercepatkan, sesuai dengan statusnya sebagai pulau bebas cukai.

Menurut mereka, walaupun sudah lebih dua minggu Pangkor diwartakan sebagai pulau bebas cukai tetapi keadaannya tidak banyak berubah, baik dari segi pembangunan, mahupun harga barangan.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, walaupun dasar kerajaan persekutuan membenarkan penjualan arak bebas cukai tetapi kerajaan negeri mempunyai pandangan lain, sesuai dengan hasrat penduduk tempatan.

Bagaimanapun, katanya, fokus akan diberikan terlebih dahulu kepada pembangunan infrastruktur seperti produk pelancongan, kedai-kedai dan kemudahan untuk agensi kerajaan yang berkenaan.