IPOH: Kerajaan negeri akan memberi peluang kepada golongan belia untuk terlibat secara langsung dengan projek-projek hiliran semasa dan selepas pembangunan Lebuhraya Pantai Barat (WCE).

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, ianya untuk membantu golongan berkenaan meningkatkan taraf hidup selain memberi peluang menimba pengalaman berharga.

Menurut beliua, projek itu memberi implikasi positif kepada perkembangan ekonomi di sepanjang jajaran projek berkenaan dan kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk memberi peluang kepada golongan belia dalam projek hiliran.

“Salah satunya ialah peluang pekerjaan, mereka boleh terlibat secara terus sebagai pekerja mahir atau pun separa mahir dalam projek ini khususnya belia-belia tempatan di sekitar projek berkenaan.

“Malah mereka juga boleh terlibat dalam sektor pembinaan atau menyelengara lebuh raya itu selain peluang-peluang untuk menyertai rantaian perniagaan atau usahawan produk tempatan melalui pembukaan kawasan rehat dan rawat,” katanya ketika menjawab soalan lisan daripada Abdullah Fauzi Ahmad Razali (BN-Kampung Gajah) semasa Sidang DUN pada Rabu.

Dalam usaha itu, Zainol memberitahu kerajaan negeri melalui Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA) juga telah mendapatkan kerjasama bersama pihak WCE dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk menawarkan kursus-kursus khas kepada golongan berkenaan.

“Kursus itu berlangsung selama tiga bulan melalui beberapa siri, ini untuk menyediakan mereka atau memperlengkapkan mereka dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan dalam projek WCE itu,” jelas beliau.