BATU GAJAH, 25 DIS – Hampir 2,700 pembeli Rumah Mesra Rakyat (RMR) Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) cawangan Perak mencatat tunggakan lebih RM3.5 juta.

Jumlah tersebut kira-kira separuh daripada lebih 5,000 pembeli yang memiliki RMR di seluruh negeri itu.

Pengarah SPNB Perak, Tajul Safuan Abu Hassan berkata, ada di antara mereka yang tertunggak sehingga tiga tahun.

“Selain COVID-19, ada di antara mereka memberi alasan harga komoditi seperti getah turun di samping keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya pada sidang media dalam majlis penyerahan kunci kepada
73 pembeli rumah mampu milik SPNB Metro Maya (Fasa 1), di sini, hari ini.

Program RMR diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah seperti nelayan, petani dan keluarga miskin yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang (daif) tetapi mempunyai tanah untuk membina rumah sendiri yang sempurna dan selesa.

Rumah itu dibina dengan harga RM65,000 tetapi RM20,000 disubsidi oleh kerajaan dan pemilik perlu membayar antara RM150 hingga RM300 sebulan, bergantung kepada tempoh bayaran.

Tajul Safuan berkata, pihaknya memahami masalah yang dihadapi pemilik tetapi dalam masa sama, SPNB juga mempunyai komitmen untuk membina rumah-rumah bagi pemohon baharu.

“Untuk tahun 2021, kami akan membina 240 buah RMR dan setakat ini kami telah menerima 3,564 permohonan secara atas talian di samping 173 melalui borang,” ujarnya.

Sehubungan itu, kata beliau, mulai Januari 2021, pihaknya akan turun padang untuk bertemu pemilik yang mempunyai tunggakan, bagi mengetahui masalah sebenar mereka.

“Kita mahu mendidik pemilik rumah supaya membuat bayar balik dan kita mensasarkan masalah ini dapat diselesai tahun hadapan supaya boleh memulakan projek baharu,” tambahnya.

Dalam Belanjawan 2021, SPNB melalui Kementerian Kewangan Malaysia dan Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan telah diperuntukkan RM315 juta untuk pelaksanaan Program RMR.