Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BATU KURAU: Keputusan pembelian 16 pesawat Boeing telah dinilai dari sudut keperluan dan kepentingan syarikat penerbangan Malaysia Airlines, bukannya pelaburan yang membazir.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, keputusan itu bertepatan dengan rasionalisasi untuk menaikkan semula keunggulan Malaysia Airlines di rantau Asia.

Menurut beliau, keputusan itu juga mengambil kira analisa daripada ahli-ahli professional yang meneliti mengenai keperluan serta manfaat pembelian pesawat itu di masa hadapan.

“Kadang-kadang kita melihat dari satu sudut sahaja, tidak keseluruhannya tetapi setelah pertimbangan lanjut, baru kita menyedari keyakinan tinggi kita bukan sahaja kepada kakitangan, pengguna malah pengurusan MAS, sebab itu keputusan Perdana Menteri itu disokong sepenuhnya oleh saya dan rakan-rakan kabinet.

“Apabila kita nampak keadaan merunsingkan, kita buat rasionalisasi dan ini menunjukkan bahawa MAS telah membuktikan mereka masih mampu untuk muncul sebagai syarikat penerbangan yang berjaya di rantau Asia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Fun Run sempena Fiesta Larut yang berlangsung di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut menegaskan bahawa rakyat tidak perlu risau mengenai teraebut kerana ia tidak lain untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi serta memperluaskan pelaburan, khususnya bagi syarikat penerbangan Malaysia Airlines.

“Rakyat sepatutnya sedar bahawa semua keputusan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak adalah berdasarkan fakta yang telah kita keluarkan, berdasarkan kedudukan dan pertumbuhan ekonomi.

“Saya minta sangat-sangat rakyat sedar bahawa komen negatif pihak pembangkang hanya untuk merosakkan pemikiran kita, sedangkan kita berani melakukannya untuk persediaan masa depan,” katanya lagi.

Hamzah berkata, kerajaan juga telah menyediakan pelan dari segi tempoh persediaan sebelum kesemua pesawat itu dapat digunakan sepenuhnya untuk Malaysia Airlines di masa depan.