LUMUT: Pendekatan kreatif Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membina Kapal Tempur Pesisir (LCS) terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu adalah suatu pencapaian yang membanggakan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin berkata, projek tersebut yang dilaksanakan menerusi Pelan Transformasi 15-to-5 yang diperkenalkan TLDM itu adalah bagi melengkapkan aset pertahanan negara dalam menjaga kedaulatan di perairan negara.

“Meskipun perancangan ini dibuat dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, tetapi kerana pendekatan TLDM yang agak kreatif, kita dapat pastikan apa jua kekangan tidak menjejaskan peranan dan tanggungjawab bagi memastikan aset mencukupi.

“Kita tidak akan sesekali membiarkan aspek keselamatan dan pertahanan tanah air dikompromikan dalam apa jua keadaan dan kita terus berusaha dari semasa ke semasa untuk memastikan pemantapan keupayaan pasukan dan aset ketenteraan kita dimajukan secara strategik dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Upacara Penamaan dan Pelancaran kapal LCS pertama iaitu Kapal Diraja (KD) Maharaja Lela yang disempurnakan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim sambil disaksikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Pangkalan TLDM di sini, hari ini.

Menurut Hishammuddin, kapal friget yang tercanggih di Asia Tenggara itu merupakan usaha dan pendekatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memperkukuhkan kesiapsiagaan dan keberkesanan TLDM.

“Susulan situasi keselamatan sejagat dan serantau, keupayaan dan kekuatan pasukan maritim khususnya daripada aspek aset dan kelengkapan turut menjadi semakin kritikal terutama berkaitan aset dan keupayaan teknologi pasukan kita untuk melakukan aktiviti pemantauan dan pencegahan pencerobohan,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata melalui projek LCS yang dilaksanakan sepenuhnya di negara ini, pelbagai kemahiran lain termasuk aktiviti pembinaan dan baik pulih kapal serta peningkatan teknologi dan kemahiran para subkontraktor yang terlibat turut dapat dipertingkatkan.

“Syarikat-syarikat tempatan, pengusaha-pengusaha industri pertahanan dan industri pengajian tinggi tempatan turut dilibatkan dalam program pembangunan vendor, sekali gus menyumbang ke arah perkembangan industri pertahanan dan maritim tempatan yang lebih rancak,” katanya.

Enam LCS itu dibina oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BN Shipyard), anak syarikat Boustead Holdings Berhad dan syarikat sekutu Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) dengan kos RM9 bilion.

Kapal LCS itu mempunyai keupayaan peperangan empat dimensi dengan mempunyai daya tahan lasak mengatasi ancaman elektronik, udara, darat dan air serta sistem pengurusan peperangan yang terkini.

Antara ciri utama kapal itu ialah mempunyai kelajuan maksimum sehingga 28 knot dengan panjang keseluruhan kapal 111 meter serta dilengkapi beberapa senjata utama seperti sistem pelancar torpedo, sistem pelancar misil antipermukaan, sistem pelancar misil antiudara dan meriam kaliber sederhana bagi meningkatkan lagi kawalan keselamatan di perairan negara. — BERNAMA