IPOH: Pembukaan Silverlakes Brand Village Outlet yang dikatakan berhampiran Taman Alam Kinta menjadi kebimbangan pencinta alam sekitar kerana dikhuatiri mengganggu habitat lebih 150 jenis burung.

Bagaimanapun, kerajaan negeri Perak berpendapat sebaliknya kerana jarak di antara kedua-duanya agak jauh.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, selain itu terdapat zon penampan antara kedua-duanya.

“Ianya tidaklah begitu dekat sebab memang kita pastikan ada zon penampan, insya Allah tidak akan mengganggu dari segi persekitaran Taman Alam Kinta,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program gotong royong bersepadu di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Rapat Jaya di sini, hari ini.

Program dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Hadir sama Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud.

Menurut Nolee, walaupun dikatakan terletak bersebelahan tetapi dari segi teknikalnya, lokasi pusat membeli belah dan Taman Alam Kinta itu sebenarnya jauh.

Pusat membeli belah premium itu yang dijangka dibuka hujung tahun ini, dibina merentasi sebuah tasik selain menerapkan konsep alam semulajadi dalam di Batu Gajah.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri adalah pencinta alam sekitar, tidak mungkin mereka akan merosakkan habitat berkenaan.