KLUANG: Dua remaja lelaki yang membuli lelaki orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran yang kemudian viral di laman sosial baru-baru ini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan mencederakan dan mencuri, di sini, hari ini.

Kedua-dua mereka yang berusia 18 tahun itu bagaimanapun didakwa dalam mahkamah tertutup kerana masih di bawah umur.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama menyebabkan kecederaan ke atas Mohamad Nor Akmal Mohamad, 20, di Taman Permainan Kanak-kanak Jalan 5/1, Taman Sri Kluang, pada jam 4 petang, 9 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) kerana mencederakan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman dipenjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mencuri beg sandang milik mangsa, mengandungi telefon bimbit jenama Samsung J2 dan wang tunai RM20, pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 379 KK kerana mencuri dan dibaca bersama Seksyen 34 KK yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Afiq Zubar manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Majistret N Arun kemudian menetapkan 25 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 seorang.

Kedua-dua tertuduh ditahan di Taman Gunung Lambak pada jam 11 malam, 13 Mac lalu, selepas polis menerima laporan daripada bapa mangsa.

Hasil ujian saringan air kencing, kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine.

Video buli yang tersebar di facebook dan aplikasi WhatsApp ditonton bapa mangsa sebelum membuat laporan polis – berita harian