IPOH, 19 DIS : Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyifatkan pemergian Tun Rahah Tan Sri Mohamed Noah sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pemegian Allahyarhamah juga amat dirasai oleh segenap lapisan masyarakat.

Susulan itu, katanya, seluruh barisan kepimpinan dan ahli BERSATU ingin merakamkan ucapan takziah kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kesemua waris Allahyarhamah.

“Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ingin menyatakan rasa sedih dan dukacita di atas pemergian Allahyarhamah Tun Rahah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berharap semoga waris Allahyarhamah dikurniakan ketabahan dalam menghadapi ujian ini.

“Bersama kita doakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, dihimpunkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan sebaik-baik ganjaran syurga, Al-fatihah,” ujarnya.

Balu kepada perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein, Tun Rahah, dilaporkan baru sahaja meninggal dunia sekitar jam 4.45 petang, Jumaat (18 Disember) di Pusat Perubatan Prince Court di ibu negara.

Khabar pemergian Tun Rahah, yang berusia 87 tahun itu disahkan sendiri oleh Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi akaun Twitter rasminya: