PUTRAJAYA: Pemeriksaan susulan selepas penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis, pada 19 Januari 2015 menemukan tiga lagi kem penempatan sementara, berserta kubur dan rangka manusia.

Saksi ketujuh Sesi Pendengaran Awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Asisten Superintendan, Jamaluddin Shah Mohd Jawan, berkata pada 15 Ogos 2015, beliau yang ketika itu bertugas sebagai Pemangku Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Daerah (IPD) Padang Besar bersama pasukan dari IPD berkenaan dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis pergi sekali lagi ke Bukit Wang Burma.

Katanya, kawasan itu terletak di puncak bukit, iaitu kira-kira satu jam perjalanan dari kem penempatan yang pertama ditemui dan berada kira-kira 30 hingga 50 meter dari batu sempadan Malaysia – Thailand.

“Ketika pemeriksaan di kawasan itu, kami menemui enam rangka manusia dalam keadaan berselerak di kem berkenaan yang diperbuat daripada kayu dan kanvas.

“Selain itu, kami juga menemui 20 struktur tanah dipercayai kubur yang terletak kira-kira 50 meter dari kawasan kem,” katanya.

Jamaluddin Shah yang kini berjawatan sebagai Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, IPD Tumpat, Kelantan, berkata beliau percaya kem berkenaan sudah ditinggalkan antara satu hingga dua tahun dan keluasannya lebih kecil berbanding kem lain sebelum ini.

Katanya, beliau kemudian membuat laporan kepada IPK negeri berhubung penemuan itu dan hasil pemeriksaan pasukan forensik mendapati, kesemua struktur tanah berkenaan adalah kubur yang mengandungi mayat.

Selain itu katanya, hasil operasi oleh Komando 69 (VAT 69) dari 10 hingga 15 Mac 2015 berjaya menemui dua lagi kem penempatan sementara PATI iaitu di Bukit Genting Perah dan Taman Negara Perlis.

“Kita bekerjasama dengan VAT 69 bagi operasi susulan dan berhasil menemui 18 kem lain di dua kem penempatan sementara yang besar.

“Operasi ini adalah hasil maklumat risikan dan siasatan barang kes yang ditemui sebelum itu, iaitu tiga buku nota biru tua, satu buku nota yang mengandungi tulisan Thai, satu pasport Bangladesh dan satu kad UNHCR (Suruhanjaya Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu).

“Semua siasatan susulan ini dijalankan bagi memastikan kem penempatan sementara itu tidak lagi wujud,” katanya.

Timbalan Pengerusi RCI, Tan Sri Norian Mai kemudian mempersoalkan mengapa kewujudan kem penempatan sementara itu tidak disedari lebih awal memandangkan Jamaluddin Shah sudah sembilan tahun bertugas di Cawangan Khas daerah itu.

Jamaluddin Shah berkata, pihaknya tidak mendapat maklumat wujudnya kem berkenaan di sebelah Malaysia, namun PATI yang ditahan pernah memberitahu, mereka ada tinggal di kem penempatan sementara di sebelah Thailand.

Katanya, kedudukan kem berkenaan yang dibina kerajaan Thailand terlalu dekat dengan sempadan Malaysia menjadi antara punca PATI sering bolos ke negara ini.

Sesi pendengaran awam RCI berkenaan yang masuk hari ketiga hari ini dijalankan di hadapan tujuh ahli RCI, dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria – Berita harian