IPOH : Bagan Serai dan Lumut antara dua Bahagian yang disebut-sebut sebagai kerusi panas untuk pemilihan barisan jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu Perak, Saiful Adli Mohd Arshad berkata, pemilihan di Bahagian itu akan menyaksikan pertandingan lima penjuru di Bagan Serai dan empat penjuru di Lumut.

Katanya, seramai 1,225 ahli Bersatu Perak menawarkan diri dan layak bertanding untuk pemilihan sesi 2019/2020 di semua peringkat Bahagian dan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

“Pemilihan ini nanti akan menyaksikan kerusi panas di Bagan Serai dengan pertandingan lima penjuru iaitu lima orang menawarkan untuk bertanding sebagai Ketua Bahagian, dan di Bahagian Lumut pula empat penjuru,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media pengumuman calon-calon Bersatu bertanding seluruh Perak di Pejabat Bersatu negeri Perak di sini pada Jumaat.

Yang turut hadir, Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Dalam pada itu, dia berkata terdapat dua Ketua Bahagian yang tidak mempertahankan jawatan iaitu Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Malim, Datuk Mohamed Azni Mohamed Ali dan Ketua Bahagian Bersatu Bukit Gantang, Datuk Khadri Khalid.

“Jumlah ahli menawarkan diri di peringkat Bahagian seramai 535, peringkat Srikandi 372 dan sayap ARMADA 318.

“Di Perak kita mempunyai 24 Bahagian Bersatu, 19 menyaksikan pertandingan manakala lima bahagian tiada pertandingan sama sekali iaitu Bahagian Tambun iaitu Tambun, Bagan Datuk, Batu Gajah, Ipoh Timur dan Padang Rengas.

“Bahagian Tambun dan Bagan Datuk juga tiada pertandingan di semua peringkat Bahagian, Srikandi, Sayap, ARMADA,”katanya.

Tambahnya, terdapat sembilan Ketua ARMADA Bahagian menang tanpa bertanding iaitu di Tambun, Bagan Datuk, Batu Gajah, Ipoh Timur, Ipoh Barat, Padang Rengas, Taiping dan Kuala Kangsar.

Selain itu, empat Ketua Bahagian Srikandi juga menang tanpa bertanding di Bahagian Tambun, Bagan Datuk, Ipoh Barat dan Parit Buntar.

Persidangan cawangan masing-masing akan bermula pada 15 Februari sehingga 29 Mac di seluruh negeri Perak.