IPOH : Pemilihan semua barisan jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) khususnya di Perak, disifatkan sebagai proses untuk menyerahkan semula mandat kepada ahli untuk memilih secara telus.

Menurut Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, pemilihan itu juga dilihat bakal memperkukuhkan kedudukan parti yang sebelum ini dibuat berdasarkan lantikan.

“Pada saya pemilihan ini adalah untuk ‘refresh’ balik, memperkuatkan balik parti, apa yang berlaku sepanjang tiga tahun ini adalah proses di mana saya ambil contoh di Pasir Salak mungkin lantikan yang dibuat waktu itu berdasarkan keperluan.

“Bukan berdasarkan kepada kehendak ahli, apa yang Bersatu cuba lakukan untuk mesyuarat ini ialah serahkan balik kepada ahli-ahli membuat pemilihan secara telus.

“Maknanya biar ahli yang buat keputusan, kalau sebelum ini parti terpaksa membuat lantikan dan mungkin ada pihak yang tidak setuju dan sebagainya, itu berlaku…kali ini adalah peluang untuk ahli memilih kepimpinan yang dirasakan layak untuk memimpin di Bahagian tersebut,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media khas bagi penamaan calon Bersatu seluruh Perak di Ipoh pada Jumaat.

Zainol berkata Bersatu Perak akan mengadakan penamaan calon bagi semua jawatan di peringkat cawangan yang akan bermesyuarat pada 15 Februari hingga 29 Mac.

Katanya, penamaan calon itu akan berlangsung pada 26 Januari ini bermula jam 9 pagi hingga 2 petang di semua 24 Bahagian di Perak yang terlibat.

Ujarnya, terdapat 277 Cawangan daripada 24 Bahagian di Perak yang melibatkan keahlian kira-kira 28,548 orang.

Buat pertama kali sejak penubuhannya pada 8 September 2016, Bersatu bakal menghadapi pemilihan di semua peringkat, bermula 25 Januari ini.

Sebelum ini,Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar berkata Bersatu akan mengadakan pemilihan barisan jawatankuasa di peringkat Cawangan, Bahagian dan Majlis Pimpinan Tertinggi Parti (MPT) termasuk sayap-sayap Srikandi dan Armada.