IPOH– Pemilihan pucuk piminan PKR negeri Perak dijangka diadakan akhir bulan Oktober, ujar Timbalan Pengerusi PKR Perak, Dr. Lee Boon Chye.

Menurutnya,keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson yang menyaksikan pertandingan tujuh penjuru di antara Pakatan Harapan, PAS dan lima calon Bebas.

“Setakat ini negeri Perak (pemilihan PKR) belum tetapkan tarikh, tumpuan kita sekarang kepada PRK Port Dickson, penamaan telah tamat hari ini.

“Kita yakin calon Pakatan Harapan (Datuk Seri Anwar Ibrahim), calon Keadilan yang merupakan Ketua Umum dan bakal Presiden parti akan muncul sebagai pemenang dalam PRK ini, kemungkinan besar pemilihan di Perak pada akhir Oktober,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sambutan Hari Farmasi Sedunia peringkat negeri Perak di Ipoh Parade, di sini pada Sabtu.

PH meletakkan Ketua Umum PKR itu sebagai calon di PRK Port Dickson manakala PAS mempertaruhkan Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar.

Lima calon yang bertanding atas tiket bebas adalah Tan Sri Isa Samad, Saiful Bukhari Azlan, Lau Seck Yan, Stevie Chan Keng Leong dan Kan Chee Yuen.