PETALING JAYA: Seorang pemilik sebuah agensi pelancongan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menipu pemilik agensi pelancongan lain berhubung visa haji FURADA membabitkan kerugian RM150,000 tahun lalu.

Tertuduh, Aminuddin Ab Rahman, 50, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Lelaki yang memakai baju kemeja putih itu dilihat tenang sepanjang prosiding di dalam kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curang menyerahkan 32 salinan visa jemaah milik syarikat Haji Harun Seh Umrah & Tours Sdn Bhd kepada Razinah Ayob, 63, yang beliau percayai salinan visa itu adalah visa FURADA yang diuruskan olehnya.

Mangsa kemudian menyerahkan wang berjumlah RM150,000 secara tunai sebagai bayaran untuk mendapatkan visa FURADA di mana wang itu tidak akan diserahkan sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Pemberian visa FURADA (visa urusan sendiri) kepada mana-mana individu atau syarikat terpilih yang menawarkan pakej haji adalah hak mutlak kerajaan Arab Saudi.

Perbuatan itu dilakukan di Mr Travel and Services Sdn Bhd, Jalan BP 7/12, Bandar Bukit Puchong, Puchong, di sini, 26 Ogos lalu.

Bapa dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, V V Suloshani mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Thong Seng Kong yang mewakili tertuduh bersetuju dengan jumlah jaminan yang yang ditawarkan, namun memohon mahkamah tidak mengambil pasport tertuduh atas alasan dia memerlukan pasport untuk menjalankan perniagaannya bagi menanggung keluarga.

Hakim Norshila Kamaruddin membenarkan Aminuddin diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali. Mahkamah turut menetapkan 15 Ogos depan untuk sebutan semula kes – berita harian