IPOH – Keputusan siapa pemilik nombor pendaftaran popular tahun ini AKU 8055 bakal diketahui tiga minggu lagi.

Ketua Bahagian Pendaftar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, Ridzuan Rayman berkata, buat masa ini, Jawatankuasa pembuka tender yang dilantik akan mengira bilangan tender dan dijangkakan pengiraan itu mengambil masa seminggu.

Menurutnya, jumlah tender bagi nombor pendaftaran AKU mendapat sambutan luar biasa iaitu tiga kali ganda daripada tender biasa yang mencapai 1,000 pada satu-satu tender.
“Tender ini kemudiannya akan dibuat penyusunan semula mengikut abjad, nombor dan seterusnya nombor bagi setiap siri sebelum dimasukkan dalam sistem.

“Kemudian mesyuarat jawatankuasa penilai yang akan dipengerusikan oleh Pengarah JPJ Negeri untuk dinilai dan meneliti semua kriteria serta syarat wajib sebelum diumumkan siapa pemilik bertuah,” katanya.

Tambah beliau, syarat wajib tender adalah pemilik perlu membayar 50 peratus daripada jumlah tender, jika tidak menepati kriteria tendernya akan ditolak.

Katanya lagi, semua keputusan akan diketahui selepas mesyuarat berkenaan namun tidak boleh diuar-uarkan sehingga sampai ke tarikh tertentu nombor pendaftaran itu dilepaskan untuk mendaftar.

Bagaimanapun Ridzuan berkata, pihaknya akan menunggu sehingga nombor pendaftaran AKT habis terlebih dahulu yang mana kini di nombor 3000.

“Mungkin dalam tiga hingga empat minggu lagi nombor itu akan habis. Nombor ini pengeluarannya agak perlahan.

“Sebenarnya nombor 8055 adalah nombor biasa malah nombor semasa yang hanya boleh dibeli dengan harga RM10 namun kelainannya apabila nombor pendaftaran AKU digabungkan dengan nombor 8055 menjadi perkataan seakan AKU BOSS,” katanya.

Beliau berkata, perkataan seperti itu hanya akan berlaku sekali sahaja dan kerana itu ia menjadi pilihan ramai.

Jelasnya, nombor pendaftaran itu juga boleh dikategorikan sebagai nombor yang cantik, menarik dan mempunyai aura tersendiri namun mungkin juga memberi sebaliknya selepas publisiti diberikan ramai pula yang takut untuk membelinya kerana yakin tidak akan menang.

“Tiga hari sebelum tamat tender, ramai yang datang untuk membuat percubaan terakhir, kebanyakan yang datang juga sempat berswasfoto di tong berkenaan malah kawasan itu menjadi tarikan sejak nombor pendaftaran itu dilancarkan,” katanya.

Menjelaskan mengenai nombor pendaftaran 8481, beliau berkata nombor itu adalah nombor semasa yang semestinya mempunyai pemilik kerana selepas nombor kereta didaftarkan nombor itu akan bergerak.

“Kita tidak tahu negeri mana yang akan dapat nombor tersebut selepas dicetak baharulah tahu siapa pemiliknya.

“Ada setengah orang tidak kisah kerana ia hanyalah sebuah nombor tetapi ada juga orang yang mempunyai terjemahan sebaliknya,” katanya.

-SinarHarian