KUANTAN: Polis tidak menolak kemungkinan akaun laman sosial Facebook ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ yang membuat penghinaan ke atas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dikendalikan warga asing.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata setakat ini pihaknya sudah mengambil segala tindakan mengesan suspek termasuk menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Kita tidak tolak kemungkinan pengendali laman berkenaan warga asing. Usaha untuk kesan suspek masih diteruskan dengan bantuan SKMM… jika suspek dikenal pasti, tindakan undang-undang akan diambil.

“Segala tindakan sudah kita ambil dan dakwaan pihak tertentu kononnya polis berdiam diri serta tidak ambil tindakan adalah tidak berasas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Markas Briged Tenggara Pusat Gerakan Am (PGA) Kem Bukit Galing, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Rahim Jaafar.

Sebelum ini, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ kerana memuat naik gambar menghina Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berkata, setakat Jumaat lalu, pihaknya sudah menerima 267 laporan polis yang dibuat pelbagai pihak di seluruh negara.

“Bagaimanapun, polis menghadapi kesukaran untuk mengesan pemilik akaun Facebook berkenaan kerana laman itu sudah disekat dan hanya boleh diakses di luar negara, maka ia akan mengambil sedikit masa,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 222 pegawai dan anggota polis dari PGA zon Pantai Timur yang berkhidmat ketika darurat sehingga 1990 menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara.

Mohamad Fuzi berkata, sehingga kini kira-kira 20,000 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara atas jasa dan sumbangan mereka ketika berkhidmat pada zaman komunis dan darurat.

“Bagaimanapun masih terdapat kira-kira 19,000 anggota dan pegawai yang layak, belum menerima pingat ini. Justeru, pihaknya akan melaksanakan proses penganugerahan ini secara berterusan supaya kesemua anggota dan pegawai yang layak dapat menerima pingat ini,” katanya – Berita harian