PETALING JAYA: Seorang penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) nyaris bergaduh dengan seorang pemilik kereta hanya kerana satu saman.

China Press melaporkan satu rakaman video selama 2 minit 40 saat tersebar di media sosial menunjukkan seorang lelaki lelaki pertengahan umur berperang mulut dengan beberapa penguatkuasa MPK yang saling mengeluarkan perkataan celaka, bodoh dan babi.

Lelaki itu pada mulanya berdiri di tengah jalan sambil menjerit ke arah sekumpulan penguatkuasa dalam sebuah van. Tiga hingga 4 penguatkuasa itu kemudiannya turun menjelaskan alasan saman dikeluarkan kepadanya.

Seorang wanita pertengahan umur yang merakamkan kejadian itu turut membantu lelaki berkenaan dalam pertengkaran itu.

Insiden itu berakhir apabila salah seorang penguatkuasa MPK itu ditarik rakan sekerjanya daripada terus bertengkar dengan lelaki berkenaan.

China Press menghubungi seorang peniaga di Jalan Sungai Putus, Klang yang memaklumkan kejadian itu berlaku bulan lalu.

Peniaga itu berkata, lelaki dalam video itu ialah pemilik kedai berhampiran yang dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan penguatkuasa mengeluarkan saman kepadanya kerana melanggar peraturan meletak kenderaan.

Penguatkuasa MPK dilarang marah orang awam

Jabatan Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz memberitahu akhbar itu, kakitangan pihak berkuasa tempatan itu sudah diarahkan bersikap mesra dan rasional ketika berurusan dengan orang ramai.

Katanya, mereka hanya boleh mendiamkan diri dan tidak dibenarkan melawan walaupun dimarahi orang awam.

Beliau berkata, kakitangan itu akan dikenakan tindakan jika beliau didapati memarahi orang awam.

“Kami akan siasat pegawai dalam video itu dari jabatan mana dan sama ada kejadian itu benar. Kami turut menyeru lelaki pertengahan umur itu datang ke majlis perbandaran untuk membuat aduan dan biar kami siasat.”