RAWANG: Pemilik dan pengurusan kilang yang disyaki melakukan pencemaran sumber air di Sungai Gong, Rawang, didakwa tidak beri kerjasama semasa pemeriksaan oleh Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan, Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Sejak Jun lalu, pengurusan kilang tidak mahu membuka pagar ketika pemeriksaan dilakukan oleh pegawai dan anggota rondaan zon MPS, sehingga menyukarkan pemeriksaan dokumen perniagaan dibuat.

Pengarah Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan MPS, Norhayati Ahmad, berkata Jabatan Pelesenan MPS sendiri, pernah mengeluarkan notis merah kepada pemilik kilang itu pada 19 Mac lalu, selepas didapati beroperasi tanpa kebenaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Sehari kemudian kita (Jabatan Penguatkuasa) datang sekali lagi melakukan pemeriksaan dan dapati mereka tidak beroperasi termasuk dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sehingga Jun lalu.

“Pada bulan sama, pihak pengurusan kilang datang ke MPS untuk berunding mengenai perrmohonan lesen perniagaan mereka namun selepas tiga kali pemeriksaan hendak dilakukan mereka tidak memberi kerjasama dengan menutup pagar,” katanya selepas melakukan pemeriksaan ke atas kilang berkenaan, hari ini.

Norhayati berkata, berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk memecah masuk kilang berkenaan bagi tujuan pemeriksaan sekiranya pagar tidak dibuka.

“Disebabkan tindakan pemilik kilang ini, setiap dalam laporan kami memaklumkan bahawa tidak mendapat kerjasama daripada pemilik kilang.

“Apabila isu berkaitan pencemaran air ini timbul, baru kami dibenarkan masuk dan mengeluarkan kompaun mengikut Seksyen 3, kerana melakukan perniagaan tanpa kelulusan MPS, maksima sebanyak RM1,000,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah memberi amaran kepada pemilik kilang terbabit untuk menghentikan operasi dan memastikan dia menghantar setiap dokumen yang diperlukan untuk tindakan susulan.

Katanya, pihaknya perlu menunggu laporan lengkap Jabatan Pelesenan dan Jabatan Pembangunan MPS dan sekiranya pemilik kilang disahkan melanggar syarat dan undang-undang yang ditetapkan maka pihak Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan akan bertindak merobohkan kilang berkenaan.

“Sehubungan itu, kita mengalu-alukan sebarang maklumat orang ramai dan pendedahan pihak media mengenai kewujudan dan kesalahan dalam apa juga elemen di sekitar Selayang untuk dimaklumkan kepada jabatan kami.

“Ini disebabkan kawasan Selayang yang sememangnya besar dan memerlukan kerjasama melalui maklumat dari semua pihak,” katanya.