SEORANG pemilik restoran India, Kamrul Islam, didapati tidak bersalah terhadap pertuduhan melakukan serangan terhadap seorang pelanggan, David Evans dengan membuang serbuk cili pada muka pelanggannya yang membuat aduan mengenai ‘ayam’.

Kamrul didakwa melakukan serangan yang boleh mencederakan badan mangsa, yang mengadu mengenai ayam di restoran Prince of Bengal di Tonypandy, selatan Wales, United Kingdom pada 21 Januari tahun lepas.

Dalam perbicaraan memasuki lima hari di Mahkamah Merthyr Tydfil di Wales pada Jumaat, juri mengambil masa tiga jam dan 45 minit untuk membersihkan nama tertuduh yang merupakan bapa berusia 47 tahun itu.

Hakim, Richard Twomlow berkata: “Kamrul… anda didapati tidak bersalah, anda dilepaskan dan anda dibebaskan.”

Menerusi perbicaraan, mahkamah diberitahu bahawa David pergi ke restoran berkenaan untuk makan bersama isterinya Michelle, dan memesan makanan dan minuman.

Pasangan itu berkata, hidangan pembuka selera mereka tidak sedap tetapi mereka tidak mengadu mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, mereka merasakan ada yang tidak kena pada sajian ayam dalam makanan utama mereka selain liat untuk dimakan.

David memberitahu juri bahawa Kamrul bertanyakan mengenai masalah yang berlaku, secara agresif dan mula menyumpah mereka.

Mahkamah kemudian dimaklumkan bahawa David mengekori Kamrul selepas pemilik restoran itu berlalu pergi, dan menjerit sebelum dilemparkan serbuk cili kepadanya.

Peguam yang mewakili Kamrul, Ruth Smith berkata, adalah jelas pasangan itu tidak boleh dipercayai kerana mengekori anak guamnya bagi menimbulkan keadaan yang buruk sangka.

Malah kata Ruth, pasangan Evans itu sengaja memperbesarkan kesan serbuk cili pada mata suaminya, apabila mendakwa penglihatannya masih kabur.

Bagaimanapun mengikut rekod, David dibenarkan keluar dari hospital dengan penglihatan yang baik dalam masa beberapa hari.

“Adalah jelas bahawa kesan cili yang terkena pada mata David adalah tidak menyenangkan tetapi hanya kerana seorang yang mengalami kecederaan, tidak bermakna mereka adalah mangsa,” tambahnya lagi. – mstar