IPOH: Pemilik suara rakaman audio yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka diketahui minggu ini.

Selepas itu, pihak polis akan memanggil pemilik suara berkenaan untuk diambil kenyataan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan kes tersebut sedang berjalan dengan aktif.

“Mereka yang didakwa suara di dalam apa itu, apabila dapat disahkan suara itu milik sesiapa, individu-individu tersebut akan dipanggil untuk diambil kenyataan,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis
Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) 456 penerima di Kem Pasukan Gerakan Am di Hulu Kinta, Perak pada Selasa.

Pada Khamis, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, selesai memberi keterangan kepada polis selepas hampir empat jam, berkaitan sembilan rakaman audio yang didedahkan beliau pada 8 Januari lalu.

Pada 8 Januari lalu SPRM memutarkan rakaman sembilan klip audio perbualan yang didakwa kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan perbualan lain yang dikatakan berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.

Abdul Hamid berkata, sekiranya minggu ini tidak sempat untuk memanggil pemilik suara berkenaan, pihak polis akan melakukannya minggu hadapan.

Sementara itu, beliau menegaskan,
tidak ada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya terdapat bukti perbuatan jenayah dalam insiden kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu yang melibatkan Exco Pemuda UMNO Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagoma dan beberapa individu.

Sambil menyifatkan insiden itu sebagai tidak sihat, beliau berkata, pihak polis akan menjalankan siasatan menyeluruh mengenai insiden itu.

Menurutnya insiden tersebut yang tular di laman sosial memberi gambaran tidak baik seolah-olah negara ini tidak mempunyai undang-undang.

“Tetapi yakinlah, dalam apa juga insiden lah, akan disiasat dan akan diambil tindakan, tidak akan terlepas.

“Sekiranya terdapat kekurangan dalam bukti apabila kertas siasatan kita hantar ke Jabatan Peguam Negara, merekalah yang akan menentukan dan kalau tak cukup bukti akan diarah kami untuk dapatkan bukti lagi,” ujarnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang Ahad, Papagomo dikatakan dihampiri lebih 10 lelaki yang menuntutnya supaya meminta maaf atas tindakannya mengoyak kertas tertera gambar Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu ketika berkempen pada PRK Parlimen Kimanis.

Beliau kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Setapak, Kuala Lumpur pada Isnin yang turut mendakwa dia dipukul di dalam insiden tersebut.