BAGAN SERAI: Semua pihak termasuk para pemimpin yang balik daripada Sabah selepas 27 September lalu diminta lebih bertanggungjawab dengan mengamalkan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, ini kerana, data yang diperolehi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), menunjukkan peningkatan mendadak kes positif COVID-19 sejak kebelakangan ini, dikesan bermula dari negeri tersebut.

Menurutnya, mereka yang telah dikesan positif terus dimasukkan ke hospital untuk rawatan selanjutnya.

“Yang mana kita dapat buat pengesanan kontak dibuat,orang-orang ini memang kita kena kuarantin dan mereka yang balik daripada Sabah selepas 27 September, dia mesti dibuat HSO, kuarantin di rumah.

“Semua orang kena ikut undang-undang tu. Jadi setakat ni kita tau ramai yang ikut SOP, ramai yang buat yang tiga perkara tu tapi ada yang tak buat,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan kempen derma darah di Bagan Serai di sini, hari ini.

Beliau menyifatkan 287 kes positif COVID-19 yang dicatatkan pada Jumaat sebagai satu tragedi kerana ia yang tertinggi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu.

Bagaimanapun, katanya, rakyat tidak perlu panik, sebaliknya terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan menggunakan sanitizer di samping tidak keluar rumah jika tiada urusan.

Mengulas kemungkinan PKP dikuatkuasakan semula, Noor Azmi berkata, perkara tersebut akan diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia.