IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyeru agar pemimpin peringkat tertinggi mempamerkan sebaik contoh teladan kepada rakyat dengan mematuhi sepenuhnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), termasuk di bulan Ramadan.

Pengelola Bijaya DiRaja, Kolonel (B) Datuk Abdul Rahim Mohamad Nor berkata, baginda peka dan faham kerumitan yang dihadapi rakyat ketika PKP terutama mereka yang hilang punca pendapatan kerana mematuhi PKP.

Baginda juga amat memahami sentimen umat Islam yang mengikut tradisi akan mengimarahkan surau dan masjid sepanjang bulan Ramadan.

“Namun baginda menzahirkan nasihat agar umat Islam memahami, menghargai dan bersama-sama membantu segala usaha dan pelah lelah yang telah dilakukan oleh para petugas di barisan hadapan.

“Malah para petugas meletakkan diri mereka berada dalam bahaya yang sangat tinggi untuk menangani penularan, di samping merawat para pesakit yang dijangkiti virus COVID-19,” katanya dalam perutusan khas yang dikeluarkan hari ini.

Sultan Nazrin menyeru rakyat supaya sama-sama berkorban untuk satu tempoh masa demi kesejahteraan rakyat dan negara untuk jangka panjang.

Baginda dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menzahirkan rasa dukacita kerana tidak dapat mengadakan majlis berbuka puasa bersama-sama rakyat di Istana Iskandariah tahun ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada masa sama, Sultan Nazrin bersama-sama Raja Muda Perak dan Raja Di Hilir Perak tidak dapat berangkat untuk berbuka puasa dan solat di masjid-masjid di daerah-daerah seperti tahun-tahun sebelum ini.