KUALA LUMPUR : Beberapa kenderaan membawa pemimpin Pakatan Harapan (PH) dilihat keluar dari Istana Negara selepas selesai mempersembah dokumen sokongan calon Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebentar tadi.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang memasuki pintu dua Istana Negara pada jam 11.50 pagi bersama Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, dilihat keluar semula pada jam 12.04 tengahari.

Turut bersama, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulfekly Ahmad.

Bagaimanapun, kelibat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak kelihatan dalam rombongan itu.

Dr Dzulfekly ketika ditemui media diluar pintu dua Istana Negara hanya memberi reaksi berikut – “sudah serah,” katanya mungkin merujuk dokumen sokongan calon Perdana Menteri.