KUALA LUMPUR : Malaysia tidak boleh dipimpin oleh pemimpin yang wibawa moralnya diragui walau sesaat, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, menegaskan pemikiran terhebat, kepetahan berpidato atau karisma luar biasa tidak boleh mengatasi moral dan akhlak.

Mohamad berkata mereka melakukan perkara yang betul dan benar – untuk bangsa dan negara – apabila mengangkat pemimpin bermoral.

“Kambing pun kenal mana satu jantan dan betina,” katanya, dan menambah parti politik haruslah menampilkan pemimpin yang mempunyai pemikiran jernih dengan dipandu moral dan akhlak.

“Rakyat kini benar-benar rasa tertipu, terpedaya, dibohongi dan dikencing oleh PH sepanjang 18 bulan menjadi kerajaan. Ternyata PH telah menggagalkan negara ini dan rakyatnya secara sistematik.

“Mereka telah gagal dalam menunaikan janji, gagal mengurus negara ini dan gagal melaksanakan pembaharuan yang mereka janjikan.

“Mereka adalah pakatan yang gagal. Pakatan yang bukan sahaja menjadikan negara ini rapuh malah telah melemahkan kedudukan, pengaruh dan kekuasaan bangsa Melayu serta kedudukan Islam,” katanya berucap merasmikan persidangan serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di Perhimpunan Agung UMNO 2019 (PAU 2019) di Pusat Dagangan Dunia Putra malam ini

Mohamad turut mengkritik alasan Pakatan Harapan bahawa memperbaiki negara perlukan masa, memberi amaran kepada gabungan pemerintah bahawa Malaysia bukan eksperimen sains.

“Sungguh malu dan aib, bila mereka sering meminta masa, untuk ‘memperbaiki’ negara…tidak ada masa untuk dibazirkan,” katanya.

Rakyat yang akan menanggung rugi setiap detik yang terbuang, tegasnya.

“Kegagalan 18 bulan PH, hanyalah permulaan kepada lebih banyak kegagalan yang bakal menyusul,” tambahnya

Mohamad sangat malu melihat perbalahan dalaman dan percakaran kuasa dalam gabungan pemerintah, mengatakan keutamaan PH bukan menguruskan negara tetapi siapa bakal perdana menteri.

“Sehingga ada juga dari kalangan kita yang terikut-ikut, malah diperkudakan oleh kalangan tertentu,” katanya.

Mohamad menyarankan sayap-sayap Umno supaya merangka “tawaran baru” untuk rakyat, yang harus mengandungi beberapa jaminan dan iltizam penting.

“Memperbaiki kedudukan sosio ekonomi dan kemajuan bangsa Melayu, mengukuhkan kedudukan Islam, institusi raja, bahasa kebangsaan dan budaya Melayu dan mengukuhkan kemajmukan Malaysia, menghormati kepentingan pelbagai kaum,” katanya.