IPOH: Pemuda AMANAH Negeri Perak mendesak pihak bertanggungjawab termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun Facebook, Foo Sing Wai yang menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri, Saidatina Aishah.

Ketuanya, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, tindakan individu tersebut yang memuat naik karikatur kartun dalam keadaan berbogel yang digambarkan sebagai Rasulullah SAW dan isteri baginda, sangat melampau dan keterlaluan.

Menurut beliau, ia telah melanggar sensitiviti umat Islam, bukan sahaja di negara ini, malah di seluruh dunia.

“Kami yakin kerajaan Malaysia di era Malaysia Baru tidak akan membiarkan tindakan melampau sebegini berleluasa.

“Kami yakin, penghinaan ini tidak mewakili mana-mana pihak dan kami percaya tindakan Foo Sing Wai dikutuk oleh seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keharmonian di dalam kepelbagaian kaum,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Hasnul berkata, isu itu bukan sekadar sensitiviti, tetapi ia adalah salah satu intipati ajaran agama Islam.

“Semua sedia maklum Nabi Muhammad adalah insan yang paling dihormati dan mulia disisi umat Islam, tindakan menghina Rasulullah seolah-olah mencabar kesabaran umat baginda,” ujarnya.

Katanya, Pemuda Amanah Perak beranggapan, penghinaan tersebut secara tidak langsung telah menggugat keamanan dan mencemarkan keharmonian negara.

“Seharusnya seluruh rakyat Malaysia menghormati sensitiviti semua agama di dalam negara ini dan tidak melakukan sebarang tindakan yang mampu mencetuskan ketegangan,” tambahnya .