IPOH: Pemuda Pakatan Harapan Negeri Perak akan mengerahkan seluruh jenteranya bagi membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang dijadualkan 26 Januari ini.

Ketuanya, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, semua empat parti komponen, Amanah, Keadilan, Bersatu dan DAP akan berpadu tenaga bagi memastikan calon Pakatan Harapan, M Manogaran menang pada PRK itu.

Menurut beliau, Perak adalah negeri terdekat dengan parlimen tersebut dan atas faktor itu, jentera dan bantuan pastinya ditagih dalam usaha merampas kerusi tersebut yang sebelum ini dimenangi Barisan Nasional dengan majoriti hanya 597 undi.

Katanya, bagi Pemuda Harapan Perak, PRK Cameron Highlands adalah sangat penting kerana ia merupakan platform untuk menilai aras sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan setelah membentuk kerajaan pada PRU14 yang lalu.

“Dengan kemenangan di kerusi ini, Pakatan Harapan akan menambahkan lagi satu majoriti di dalam parlimen seterusnya menguatkan lagi kerajaan yang ada.

“Melihat kepada suasana politik semasa serta keadaan Barisan Nasional yang seolah “hidup segan mati tak mahu”, kami yakin Pakatan Harapan akan berjaya merampas kerusi tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera untuk turun membantu kempen Pakatan Harapan bermula daripada sekarang.