SUNGAI SIPUT: Dewan Pemuda Pas Negeri Perak (DPPNP) Menyatakan pendirian tegas menolak sebarang hubungan dengan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

Ketua Dewan Pemuda Pas (DPPN) Perak Ustaz Mohd Akmal Haji Kamarudin juga berkata DPPN Perak kini sedang menilai kembali tahaluf bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) .

“Dalam tindak-tanduk PKR yang dilihat kadang-kadang bermain api, PKR mencerca dan menghina kita secara terbuka dalam masa yang sama merayu kepada kita supaya teruskan hubungan.

“Politik apakah ini? Kita menanti keputusan rasmi dari Pas Pusat berkenaan hubungan bersama PKR,” katanya semasa memberikan ucap tama di Muktamar Tahunan DPPNP di Hotel MH, Sungai Siput pada Ahad.

Menurut beliau PAS telah melalui fasa bertahaluf dengan pelbagai parti yang rencam latar belakangnya.

Namun katanya setiap kali pertembungan prinsip, PAS tetap berpegang pada prinsip sehingga akhirnya dikhianati.

“Berdepan dengan PRU 14 nanti, melalui pendekatan ta’awun siyasi mengorak langkah ke depan dengan budaya politik matang dan sejahtera,” katanya.

Menurut beliau tertubuhnya Gagasan Sejahtera melihatkan kejituan dan keutuhan PAS untuk menyelesaikan permasalahan negara dan membimbing rakyat ke arah kesejahteraan.