IPOH – Satu laporan polis telah dibuat terhadap Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berhubung kenyataannya berbaur fitnah dan bersifat hasutan.

Laporan polis itu dibuat Pemuda Harapan Perak dan ahli jawatankuasanya diketuai Hasnul Zulkarnain Abd Munaim yang juga Exco Kerajaan Negeri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, di sini pada Sabtu.

“Kami mengharapkan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya dan kalau boleh kita mahu memberi peringatanlah kepada beliau supaya tidak terus cuba menghasut rakyat Perak dalam isu yang berkaitan Melayu, bangsa dan juga Istana Raja,” kata YB Hasnul Zulkarnain ketika ditemui.

Beliau menyifatkan tindakan Ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin itu sebagai cubaan memainkan isu perkauman dan institusi diraja sebagai tindakan individu yang kecewa kerana kehilangan kuasa.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri mengulas tentang klip video berdurasi 3.32 minit, bersempena program Himpunan Melayu Bangkit anjuran Umno Pasir Salak yang tular dan disebarkan menerusi aplikasi Whatsapp sejak semalam.

Tajuddin yang berucap dalam video berkenaan mendakwa Orang Melayu telah kehilangan kuasa dan berpecah belah.

Hasnul Zulkarnain turut melahirkan rasa bimbangnya terhadap penyebaran video berkenaan dan menyifatkan ianya boleh merenggangkan hubungan masyarakat yang berbilang kaum di Perak.

Beliau berpendapat, Umno dan Barisan Nasional masih lagi tidak belajar dengan kesilapan mereka dengan mengulangi kesilapan lama iaitu menggunakan isu perkauman dan agama.

Tambahnya, ‘watak’ Tajuddin juga amat dikenali sebagai seorang ahli politik yang sering cuba mewujudkan api perbalahan antara kaum sejak sekian lama.

“Pada saya beliau bukan pemimpin yang matang dan tidak boleh menerima hakikat bahawa rakyat Malaysia telah bertindak matang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dengan memilih PH,” katanya.