IPOH : Pergerakan Pemuda Umno Perak membuat laporan polis terhadap akaun Facebook sebuah portal berita yang didakwa mengeluarkan kenyataan palsu, fitnah dan menjelikkan terhadap Umno Perak dan kepimpinannya pada Selasa.

Antara lain, hantaran akaun itu menuduh terdapat sogokan dan tawaran oleh Umno Perak melibatkan RM7.5 juta seorang untuk membeli Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam isu pelantikan Menteri Besar Perak.

Pengerusi Sekretariat Undang-Undang Pemuda Umno Perak, Faridzul Azlan Abd Shani berkata, pihaknya berharap tindakan sewajarnya dapat diambil dan siasatan menyeluruh dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Artikel palsu dan fitnah ini saya percaya berniat jahat, provokatif, mencetuskan persepsi negatif dan boleh mengganggu proses pemilihan Menteri Besar oleh ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.

“Ia juga menambah kegusaran rakyat serta menimbulkan pandangan jelik terhadap pemimpin Umno dan Muafakat Nasional Negeri Perak,” katanya.

Beliau ditemui selepas bersama ketua-ketua serta wakil pergerakan pemuda Umno seluruh Perak membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam, Ipoh pada Rabu.

Menurutnya, terpulang kepada tindakan puncuk pimpinan Umno Perak, khususnya beberapa nama yang dikaitkan oleh hantaran tersebut untuk mengambil tindakan undang-undang.