KUALA LUMPUR: Pemulihan bekalan air di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor disasarkan melebihi tahap 90 peratus menjelang tengah malam ini atau awal pagi esok.

Menurut Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), setakat 6 petang tadi, tahap pemulihan 77 peratus dicatat bagi keseluruhan akaun pengguna di kawasan yang terjejas susulan kerja pembaikan paip istem mampatan udara pecah di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3), Ijok, milik Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

Bekalan air pulih 100 peratus di Hulu Langat, disusuli Kuala Langat (98 peratus), Klang (86.1 peratus), Gombak (78.2 peratus), Petaling (57.5 peratus) dan Kuala Lumpur (52.5 peratus).

Gangguan bekalan air sejak 6 Mac itu dilapor menyulitkan lebih dua juta pengguna di 427 kawasan terbabit. – BERNAMA