SITIAWAN: Jabatan Pertanian Perak berhasrat menjadikan Manjung sebagai hab pengeluaran kubis bulat bagi menampung permintaan dalam negara, sekali gus mengurangkan import sayur berkenaan.

Hasrat itu bakal direalisasikan apabila percubaan tanaman kubis di kawasan tanah rendah berjaya mencapai kriteria ditetapkan dan setara dengan tanaman di tanah tinggi.

Pengarah Jabatan Pertanian Perak, Noorazmi Yahya, berkata usaha itu dijalankan di setiap pusat pertanian daerah dengan seorang pengusaha dipilih bagi tempoh percubaan, menggunakan benih hibrid F1 311.

Katanya, pemerhatian mendapati hasil kubis di daerah Manjung paling memberangsangkan dengan mencapai berat 1.8 kilogram (kg) sebiji berbanding di tempat lain dengan berat bawah 1.5 kg.

‎”Pusingan pertama plot percubaan tanaman kubis yang dijalankan di Pusat Pertanian Lekir di sini, sudah mencapai 80 peratus mengeluarkan hasil berkualiti.

“Ketika ini pusingan pertama menunjukkan hasil memberangsangkan. Bagaimanapun, masih ada pusingan kedua dan ketiga pada Mac serta Julai ini sebelum mencapai keberhasilan sepenuhnya dan boleh dijual kepada orang ramai, tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Lawatan Hari Penuaian Kubis Tanah Rendah Pertama di Pusat Pertanian Lekir, Batu 8 Lekir, di sini, hari ini.

Tanaman kubis seluas 0.10 hektar dengan 2,700 biji itu diusahakan Cheah Song Hui, 32, dengan bimbingan jabatan dan bapanya, Cheah Lean Teik, 66, yang berpengalaman menanam sayur itu di Cameron Highlands.

Noorazmi berkata, kubis bulat berpotensi tinggi kerana ia antara sayur yang popular di Malaysia dan sentiasa mendapat permintaan pasaran.

Katanya, belum ada tanaman kubis secara komersial di tanah rendah melainkan di tanah tinggi Cameron Highlands, Pahang; Lojing, Kelantan dan Kundasang, Sabah.

‎”Pengeluaran kubis dalam negara boleh dianggap kurang dengan anggaran 60 peratus manakala 40 peratus lagi adalah diimport dari China dan Indonesia.

‎”Dengan usaha ini bukan sahaja dapat mengurangkan kadar import sayur itu, malah dapat meningkatkan pendapatan komuniti petani,” katanya – berita harian