TELUK INTAN: “Kadang-kadang, makcik rasa macam tak berguna, anak makcik semua pakai baju tak bergosok ke sekolah sebab tiada elektrik,”.

Menitis airmata seorang ibu apabila mengenangkan penderitaan keluarganya yang terpaksa menanggung pelbagai kesulitan berikutan ketiadaan bekalan elektrik di perkampungan rumah sejak 40 tahun lepas.

Jemalia Othman, 57, merupakan salah seorang penduduk Kg Melayu Sg Chawang terletak sejauh 20 kilometer daripada jalan utama yang tidak mendapat kemudahan asas bekalan elektrik.

Lampu minyak tanah dan uniform sekolah yang tidak bergosok telah menjadi sebahagian daripada rutin 22 keluarga di perkampungan itu sejak hampir 40 tahun lepas.

Malah, ketiadaan elektrik juga menyebabkan kesemua mereka mengalami kesukaran mendapatkan bekalan air yang bersih bagi melaksanakan kerja harian.

Jemalia, ibu kepada tujuh orang anak berkata, dia masih teringat setiap detik penderitaan yang terpaksa dihadapi ketika rumah mereka masih bergantung kepada lampu minyak tanah dan “generator” sebelum ini.

“Mak mana yang tak sebak, kadang-kadang anak pergi sekolah tak gosok baju, kami tiada pam elektrik jadi pakai air telaga untuk makan minum, mandi dan basuh kain dan pinggan mangkuk.

“Bila kemarau, telaga kering jadi makcik kena pimpin tangan anak-anak, cari bekalan air di kebun sawit terdekat, awal subuh dah keluar rumah.

“Waktu itu, Allah saja tahu perasaan makcik melihat makcik melihat anak yang lahir masih menggunakan cahaya lampu minyak tanah terpaksa menempuh semua ini ketika usia masih muda,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya pada Rabu.

Jemalia merupakan salah seorang penerima Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Kg Baru Sg Chawang, Changkat Jong, di sini.

55d37231-11f9-438b-ac14-9829b2143014

Jelasnya, beliau yakin masyarakat di bandar yang hidup serba lengkap dengan kemudahan elektrik dan air tidak akan memahami keperitan seisi keluarganya serta jiran-jiran lain.

“Malu juga makcik rasa kalau anak saudara nak datang sini untuk beraya atau sama-sama sebab kami sendiri pun susah.

“Bila ada bekalan elektrik ni, kami akan usahakan pam air untuk sambung ke rumah, kedua-dua ini rahmat bagi kami,”jelasnya sambil mengesat airmatanya.

Sementara itu, Nazri Saad, 71 pula berkata pemasangan bekalan elektrik ke perkampungan itu cukup membuatkan kelima-lima cucunya yang masih kecil berasa sangat teruja.

“Saya lahir dengan lampu minyak tanah, malah sekarang pun masih guna minyak tanah, setelah berpuluh tahun menunggu akhirnya elektrik sampai, tidaklah saya mati celik (terkilan).

“Kalau dulu, kawasan perkampungan ini semuanya rumah pondok dan memang cukup terpisah dari luar (kemajuan), tetapi usaha daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) ini amat saya hargai, bolehlah cucu-cucu saya hidup lebih selesa dan mudah nanti,” katanya.

Beliau yang juga merupakan penerima bekalan BELB TNB di kampung tersebut turut berharap agar sambungan air yang lebih bersih pada masa hadapan.

Nazri yang telah bekerja di ladang kelapa sawit Ganda Suli sejak awal tahun 1980an itu berkata beliau kini hanya bergantung kepada air parit bagi melakukan rutin harian asas walaupun telah mendapat bekalan elektrik selama empat hari sejak 15 April lepas.

“Nasib baiklah air parit di sini jernih jadi kami boleh gunakannya untuk membasuh kain dan sebagainya cuma kalau kami nak air minum kami terpaksa berulang alik sejauh lima kilometer ke telaga tiub SK Kumpulan Ganda,” katanya lagi sambil menahan sebak.

Jelas Nazri, dia amat berterima kasih kepada wakil rakyat, ADUN Changkat Jong yang bertungkus lumus membantu beliau serta 21 keluarga lain untuk mendapatkan bekalan elektrik yang telah dinantikan sekian lama.

Kg Sungai Chawang yang terletak sekitar 40 kilometer daripada pekan Teluk Intan memyebabkan mereka mengalami kesukaran untuk mendapatkan kemudahan infrastruktur asas seperti bekalan air bersih, elektrik dan telekomunikasi.

Harapannya, agar kerajaan sedia ada yang seringkali prihatin dan tidak pernah meminggirkan nasib rakyat untuk membekalkan elektrik bersama TNB dapat mempertimbangkan saluran air bersih pada masa akan datang.