IPOH: Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah memohon agar pucuk pimpinan mempertimbangkan pandangan kesemua ahli serta peringkat akar umbi mengenai pemilihan calon bagi kerusi Parlimen Tambun.

Beliau berkata ahli UMNO bahagian itu mahu pimpinan tertinggi parti meletakkan harapan serta keinginan ahli di peringkat bawahan yang merupakan jentera parti dalam membuat keputusan.

“Saya harap pucuk pimpinan beri pertimbangan yang sewajarnya sebelum membuat pilihan kerana kita yang berada di bawah, kita yang melaksanakan kerja, kita yang melaksakanan tanggungjawab kepada parti.

“Saya harap sekurang-kurangnya pucuk pimpinan mengambil kira hal itu kerana sebagai anggota parti kita juga berhak menyuarakan hak kita,”katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas menyempurnakan Program Ramah Mesra bersama warga emas Rumah Seri Kenangan (RSK) Ulu Kinta, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan yang mengatakan UMNO Tambun menolak pencalonan semula Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah untuk mempertahankan kerusi Parlimen Tambun dalam Pilihan Raya ke-14 ini.

Difahamkan ahli bahagian berpendapat tidak wajar untuk mencalonkan semula Ahmad Husni berikutan tindakan beliau melepaskan semua jawatan dalam parti dan mengumumkan persaraan.

Ahli bahagian mula menyuarakan pendapat setelah Ahmad Husni menyatakan keinginan untuk bertanding semula.

Ahmad Husni merupakan Ahli Parlimen Tambun empat penggal selepas memenangi PRU pada 1999. Pada PRU13 lalu, beliau memenangi kerusi Parlimen Tambun dengan menewaskan calon PKR, Siti Aishah Shaik Ismail dengan majoriti 9,325 undi.

Aminuddin juga mengulas mengenai ura-ura mengatakan bahawa UMNO Bahagian Tambun menolak pencalonan Husni berikutan tindakan sebelum ini yang meletakkan semua jawatan politik malah menyatakan hasrat untuk bersara daripada politik sebelum ini sekitar Julai 2016.

Aminuddin berkata sebagai seorang yang berpandukan kepada resepi kemenangan parti beliau akan menyerahkan keputusan akhir kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan dalam membuat muktamad mengenai calon bagi Tambun.

“Saya melihat perkara macam saya ini selaku pemangku Ketua Bahagian, apabila Husni menyatakan hasrat untuk meninggalkan bidang politik semasa beliau meletak jawatan, wajarlah kita bersedia untuk menyediakan golongan pelapis.

“Kita akur, apa pun kita akur kerana akhirnya kita mengakui hakikat bahawa keputusan akhir adalah di tangan Presiden parti , cuma yang kita harapkan supaya pucuk pimpinan mengambil pandangan dan pertimbangan jentera parti di akar umbi,”katanya ketika ditanya sekiranya nama Ahmad Husni dicalonkan pada PRU14 kali ini.

Justeru, Aminuddin yang juga Penyandang DUN Hulu Kinta itu berkata sebagai sebuah parti politik sudah menjadi tanggungjawab kepada jentera parti untuk tetap memenangkan calon yang terpilih oleh pucuk pimpinan.

Tegasnya, soal kepentingan individu hanyalah pada satu peringkat dan bukanlah keutamaan sebaliknya perlu menfokuskan kepada tunjang kerja kepada parti secara keseluruhan.

“Sebagai pemegang jawatan yang bertanggungjawab, kita perlu sedar kita hanya boleh buat sesuatu pada tahap tertentu sahaja, selebihnya adalah keputusan pucuk pimpinan dan kita kena akur akan hakikat itu,”ujarnya lagi.

Pada PRU-13, ketiga-tiga kerusi dimenangi BN dengan Ahmad Husni di Parlimen Tambun, Aminuddin (DUN) Hulu Kinta) dan Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin.