KUALA LUMPUR: Polis telah menahan empat lelaki pemilik premis penyelenggaraan jentera berat yang dipercayai bertanggungjawab terhadap pencemaran Sungai Gong, Rawang.

Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin, tiga laporan polis diterima berhubung kejadian pencemaran bau di kawasan perindustrian di lokasi berkenaan.

“Keempat-empat suspek ditahan pada lewat malam tadi dan seorang daripada mereka hadir dengan peguam untuk membantu siasatan.

“Premis ini menyimpan jentera-jentera berat dan kadang-kala membaikinya.

“Kemungkinan minyak-minyak inilah yang disalurkan ke dalam sungai, namun ia masih dalam siasatan,” katanya kepada Astro AWANI, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, kesemua suspek ditahan merupakan adik-beradik berumur dari 50 hingga 60 tahun yang mewarisi syarikat itu daripada bapa mereka yang telah meninggal dunia.

“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan,

Terdahulu, media melaporkan sebuah premis disyaki menjadi punca pencemaran bau sehingga menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor dihenti tugas sejak Khamis lalu.

Premis itu telah disita dan dikompaun serta-merta.

Premis berkenaan disyaki melepaskan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.

Sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah di sekitar Lembah Klang membabitkan hampir 1.2 juta akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula Khamis selepas empat LRA dihenti tugas susulan insiden pencemaran bau berkenaan. -AWANI