SUSPEK yang melarikan kereta milik pemain bola sepak negara, N Thanabalan, dilaporkan mengambil jersi, kasut bola dan kasut senamannya.

Berdasarkan pemeriksaan ke atas Proton Iswara berwarna biru itu, suspek turut menukar nombor pendaftaran kenderaan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, hasil pemeriksaan mendapati tempat kunci pada kereta berkenaan diumpil dipercayai ketika suspek berusaha melarikan kereta itu.

 BERITA TERDAHULU :Bantulah cari kereta Thanabalan, hilang di Batu Caves

“Kereta itu sebenarnya ditemui oleh Thanabalan sendiri di stesen minyak di Wangsa Melawati, kira-kira 3 pagi tadi.

“Susulan itu, dia kemudian memaklumkan penemuan keretanya kepada pihak polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ali Ahmad berkata, Unit Forensik Polis, turut menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan sebarang cap jari suspek.

“Kita juga sedang berusaha mengesan individu yang terbabit dalam kejadian ini berdasarkan bukti dan petunjuk yang ada,” katanya.

Dalam kejadian 5 pagi kelmarin, kereta berkenaan dilaporkan hilang selepas pemain itu meletakkan keretanya tidak jauh dari Batu Caves, ketika dia menghadiri sambutan Thaipusam.

Thanabalan yang menaiki kereta itu bersama keluarganya dari Senawang, Seremban, dilaporkan meletakkan kereta berkenaan pada 3 pagi.

Dia kemudian membuat laporan polis di IPD Gombak, berikutan kehilangan kereta keduanya yang dibeli dua tahun lalu.

Tidak lama selepas membuat laporan polis, Thanabalan memaklumkan kejadian berkenaan menerusi Facebook dan Instagram peribadinya dan berharap orang ramai yang melihat keretanya itu menghubunginya segera.