KUALA LUMPUR – Pendaftaran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) telah digantung oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mulai 31 Julai lalu.

Surat yang ditandatangani oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia, Masyati Abang Ibrahim itu telah diserahkan pada DPMM pada tarikh tersebut juga.

Tidak dinyatakan secara jelas mengenai tindakan tersebut.

Tetapi, dalam kandungan surat itu, pendaftaran DPMM dibatalkan daripada terus melanggar mana-mana aturan pertubuhan.

Sementara itu, sumber-sumber DPMM mengesahkan mengenai penggantungan tersebut namun tidak dapat mengulas panjang.

MalaysiaGazette melaporkan usaha untuk bercakap dengan Presiden DPMM, Rizal Faris Mohideen Abdul Kader masih belum berjaya setakat ini.

Pada Jun tahun ini, seramai 18 bekas ahli Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) didakwa mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan DPMM secara tidak sah di sisi undang-undang pertubuhan Malaysia dan perlembagaan DPMM.

AGM itu didakwa diadakan pada 15 Jun lalu.

Mereka yang menganjurkan mesyuarat tersebut ialah Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee, Fauzi Hassan, Abdul Halim Husin, Norsyahrin Hamidon, Datuk Syed Ali Alattas, Abdul Rahman Yaakub, Yusri Yusof dan Mohd Azmi Ali.

Selain itu, Zuhaizar A. Karim, Harun Mahmud, Mohd Rasit Saleh, Md. Pishal Ab. Raub, Mohd Zayad Md. Ismail, Muhammad Farhan Basheer Ahamed, Mohd Yusrizal Omar, Haji Awang Sham Amat, Hamzah Paravil Moideom dan Samani Amat.

DPMM dalam kenyataannya berkata, penganjuran mesyuarat tidak sah ini adalah satu penipuan besar dan bertujuan untuk merampas kuasa dari kepimpinan DPMM yang sah.

Dakwa DPMM, mesyuarat berkenaan turut mengelirukan serta memperdaya ahli-ahli DPMM dan masyarakat umum, yang mana dalam AGM ini, Syed Hussein telah dilantik sebagai presiden baharu oleh bekas-bekas ahli yang turut sama bersubahat dalam perbuatan menyalahi undang-undang ini.

Untuk rekod, keahlian Datuk Seri Syed Hussein dan 17 nama tersebut di atas ini telah tergugur secara automatik berkuatkuasa pada 13 September 2018.

Ia mengikut fasal 27.6.6 dan 8.12.5 Perlembagaan DPMM kerana telah membawa DPMM ke mahkamah di bawah Saman Pemula No. WA-24NCvC-1819-09/2018, seperti yang diputuskan secara sebulat suara dalam Mesyuarat Agung DPMM Yang Ke 52 pada 22 November tahun lepas dan telah diperakui oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

DPMM menegaskan presidennya yang sah di sisi undang-undang ketika ini masih lagi Rizal Faris seperti dalam rekod eRoses terkini di bawah kelolaan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.