TANJUNG MALIM: UMNO akan mendapatkan penjelasan daripada pimpinan Pas esok berhubung pendaftaran Perikatan Nasional (PN).

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, satu pertemuan bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan diadakan di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Slim River di sini pada jam 9 malam.

Menurutnya, pada pertemuan itu, beliau akan menyampaikan beberapa mesej tertentu kepada Pas.

“Sebagaimana yang diketahui, kini Pas telah bersama-sama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendaftarkan partinya sebagai gabungan rasmi di dalam PN. Ini akan diperjelaskan esok.

“Tentunya ada mesej tertentu di mana Muafakat Nasional (MN) akan terus diperkasa dan diperkukuhkan di mana bukan hanya UMNO dan Pas tetapi kita menggunakan pendekatan di mana parti-parti komponen BN seperti MCA dan MIC tetap bersama,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Ziarah Kasih di Felda Gunung Besout 2, Sungkai, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, biarpun MN tidak didaftarkan, namun ia merupakan gabungan politik yang menyokong PN.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjelaskan pihaknya tidak akan masuk campur urusan Pas untuk bersama Bersatu mendaftarkan PN.

Sementara itu, Ahmad Zahid mengarahkan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin mengadakan pertemuan secara menyeluruh bagi menyelesaikan konflik yang berlaku.

Menurutnya, apa yang berlaku hanyalah perbezaan pendapat namun perkara tersebut perlu ditangani segera.

Beliau berkata, pertemuan secara menyeluruh itu perlu melibatkan semua pihak sama ada di dalam kalangan pemimpin UMNO atau yang di luar parti itu.

“Hari ini ada mesyuarat perhubungan UMNO Sabah dan saya akan mendapatkan maklum balas selepas mesyuarat itu. Saya akan bertemu dengan Bung Mokhtar untuk mendapatkan maklum balas beberapa tindakan bersama yang akan kita lakukan bagi memenangkan semua calon.

“Saya juga minta supaya beliau mengadakan koordinasi dengan ketua-ketua UMNO bahagian di Sabah,” ujarnya.

Beliau mengulas mengenai konflik yang berlaku di dalam UMNO Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu.

Beliau meminta Bung Mokhtar memberi tumpuan terhadap kerjasama dengan parti-parti politik lain di Sabah termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Cinta Sabah (PCS) dan parti-parti lain.

“Kita menjangkakan bahawa pada kali ini Parti Warisan Sabah (Warisan) akan diberikan tentangan oleh parti- berkenaan dan saya amat yakin koordinasi ini boleh dilakukan oleh Bung Mokhtar.

“Beliau telah bergerak ke lima zon di negeri Sabah yang mengandungi 73 kawasan Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid sekali lagi meminta semua pihak merapatkan barisan kerana kemenangan pada PRN itu bergantung kepada penyatuan bukan sahaja di dalam UMNO tetapi dalam kalangan parti-parti politik di Sabah.

Sebelum ini, beberapa pemimpin UMNO Sabah tidak bersetuju dengan pelantikan Bung Moktar mengetuai jentera BN negeri itu menghadapi PRN Sabah, seperti diumumkan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN.

Antara yang bersuara, Ahli Majlis Tertinggi UMN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang juga Ketua Bahagian UMNO Tuaran menyifatkan tindakan Ahmad Zahid meletakkan seseorang yang mempunyai kes di mahkamah sebagai ‘jeneral’ dalam PRN itu boleh ‘membunuh diri’.