KOTA KINABALU: Kompleks Taman Kinabalu akan ditutup bermula 25 September sehingga 8 Oktober ini, susulan seorang pendaki dari Tawau dikesan mempunyai kontak rapat dengan individu yang didapati positif COVID-19.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Tetap Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Dr Jamili Nais memaklumkan semua kakitangan yang bertugas di pusat saringan, kaunter pendaftaran serta pintu masuk Kompleks Taman Kinabalu dan Panalaban telah diminta menjalani saringan kesihatan hari ini.

“Oleh itu, Jabatan Kesihatan mengesyorkan supaya Kompleks Taman Kinabalu ditutup kepada orang awam termasuk pendaki ke Gunung Kinabalu selama 14 hari berkuat kuasa pada 25 September sehingga 8 Oktober.

“Semua malim gunung dan porter yang bertugas pada 13 dan 14 September juga diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan dan mereka yang didapati positif akan dikuarantin selama 14 hari,” katanya.

Semua kemudahan di taman berkenaan juga akan dibersihkan dan dinyahkuman.