IPOH: Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Korbu Ahad lalu, ditemui dalam keadaan selamat oleh Orang Asli yang mencari bahan perubatan tradisional di Sungai Gajah, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, Tee Kong Tiong, 68, ditemui tersasar lima kilometer dari laluan sebenar jam 2.30 petang.

Ujarnya, mangsa kemudian dibawa ke klinik kesihatan berhampiran untuk menjalani pemeriksaan sebelum polis merekodkan keterangannya.

Terdahulu media melaporkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) untuk mengesan mangsa dijalankan pagi ini oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh diketuai Komander Operasi, Saiful Habtur Rahman Shakirin.


Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pukul 10.24 malam tadi.

Menurut kenyataan tersebut, Tee bersama rakannya yang berusia 42 tahun mendaki gunung berkenaan pada Jumaat lalu dan mereka bermalam di Kem Seroja yang terletak pada ketinggian 800 meter.
Bagaimanapun, mangsa dipercayai hilang pada sebelah petang Ahad dalam perjalanan turun.

Dia turut menasihatkan mereka yang menjalankan aktiviti riadah serta mendaki untuk sentiasa mendapatkan permit dari Renjer Perhutanan dan melaporkan kepada balai polis berhampiran bagi makluman jika berlaku sebarang permasalahan.