IPOH, 18 DIS: Kerajaan Negeri akan menggunakan pendekatan ‘smart Island’ untuk membangunkan Pulau Pangkor melalui pengurusan sumber alam yang efektif serta berkesan dalam mengawal pencemaran.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, ia selari dengan pengiktirafan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai bermula pada 1 Januari 2020.

“Kerajaan Negeri mengharapkan pembangunan yang seiring dengan pertambahan kemasukan pengunjung, faktor alam semula jadi dan keindahan pulau akan sentiasa terpelihara.

“Justeru, Kerajaan Negeri akan menjadikan cabaran ini sebagai salah satu pendekatan untuk membangunkan Pulau Pangkor sebagai “

‘smart island’,” katanya ketika sesi penggulungan Belanjawan Negeri Perak 2021 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Selain itu Saarani berkata, kerajaan negeri juga berhasrat untuk menjadikan Pulau Pangkor sebagai pulau yang bebas dengan kenderaan berasaskan petroleum dan akan digantikan dengan kenderaan elektrik yang menggunakan teknologi hijau.

Beliau berkata, selain itu seiring dengan pengiktirafan juga, fokus utama Kerajaan Negeri ketika ini adalah untuk membangunkan sebuah kompleks jeti yang lebih selesa untuk menampung jumlah pengunjung yang semakin bertambah.

“Sebanyak RM15 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan kerja-kerja awalan,”ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan Pulau Pangkor, destinasi pelancongan terkemuka di Perak dan Malaysia mencipta sejarah apabila menjadi pulau bebas cukai (PBC) berkuat kuasa 1 Januari 2020.