IPOH: Tarikh 14 Jun setiap tahun telah diisytiharkan sebagai Hari Penderma Darah Sedunia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menggalakkan masyarakat menderma darah bagi menyelamatkan orang lain.

Tahun ini temanya ialah Darah yang selamat menyelamatkan nyawa.

Ketua Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) ipoh, perak, Dr Sabariah Mohd Noor, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac menyebabkan sumbangan darah bulanan di Perak merosot kepada 1,000 peket, berbanding 2,400 peket sebelumnya.

“Jadi kita nampaklah pada minggu pertama minggu kedua tu drastik turun kita punya kutipan, tetapi disebabkan stok stok kita pada masa itu adalah baik, memang kita dapat kawal untuk pemberian darah kita kepada pesakit-pesakit boleh, tiada sekatan.

“Memanglah kalau kira anggota-anggota di tabung darah seluruh Malaysia pada masa itu memang bekerja amat keras, kami terpaksa keluar cari darah, kita terpaksa meyakinkan orang yang kami ini tidak membawa kuman COVID sebab ada juga persepsi di mana hospital ada covid,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian kempen derma darah sempena sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2020 di Surau Al Falah, Taman Song Choon, hari ini yang disempurnakan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Menurutnya, tabung darah di Perak mengutip kira-kira 60,000 peket setahun dan antara 65 hingga 70 peratus adalah sumbangan daripada penderma ulangan.

“Penderma muda, untuk mereka mula menderma memanglah takut tu banyaklah, takut tak ada darah, darah saya tak boleh, saya takut jarum, macam-macam, jadi kita sentiasa memberi pendidikan kepada golongan-golongan ini.

“Contohnya, kalau orang yang pertama kali menderma, kita akan membuat mereka berasa selesa di mana dengan pengalaman yang pertama itu, dia akan terus menderma. Pengalaman pertama adalah amat penting,” ujarnya.
Sempena Hari Penderma Darah Sedunia 2020, Dr Sabariah merakamkan penghargaan kepada penderma darah yang dianggap sebagai wira tidak didendang.

“Kepada semua penderma-penderma darah, teruskan untuk menderma darah demi kesihatan sejagat. Anda merupakan hero dan heroin kami semua, tanpa anda maka akan keringlah tabung darah kami,” katanya.